Tanpa mengira label, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang, barisan pimpinan parti perlu mengutamakan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan negara pada setiap masa. Jangan korbankan apa yang dimiliki bersama pada hari ini hanya kerana matlamat politik jangka pendek.

Apa pun pendirian dan pilihan dalam berpolitik, semangat perpaduan dan hubungan silaturahim perlu dipertahankan. Memang tempoh sehingga hari pengundian itu amat sukar yang memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan semua pihak. Ingat pesanan baginda supaya tidak disensasikan isu-isu agama, kaum, budaya dan bahasa sehingga mencetuskan sengketa.

Diharapkan, rakyat Malaysia bertindak lebih matang dalam mengharungi hari-hari yang akan dilalui bermula sejak pembubaran Parlimen dan DUN sehingga proses pembentukan kerajaan. Hindari sebarang tindak tanduk berbentuk provokasi.

Awang percaya, keadaan akan lebih mudah sekiranya semua pihak menghormati peraturan atau undang-undang yang sudah tersedia. Tidak terlalu sukar untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya proses pilihan raya ini benar-benar telus serta berjalan dalam suasana yang baik.

AWANG – Tunggu pengumuman SPR.