Awang percaya pada hari ini, ramai yang bekerja seperti biasa walaupun cuti umum kali ini akan membawa kepada cuti lebih panjang sehingga hari Isnin sempena sambutan Hari Wesak. Kepada yang bercuti, selamat bercuti.

Sambutan Hari Pekerja peringkat Kebangsaan tahun ini yang bertemakan Pekerja Sihat, Produktiviti Meningkat akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Ku­ching, Sarawak. Awang berharap tema kali ini dapat dihayati oleh semua pihak sama ada pekerja atau majikan. Kesihatan amat penting bagi pekerja supaya mereka dapat menyumbang kepada produktiviti serta peningkatan kualiti yang diharapkan oleh majikan.

Gaya hidup yang semakin berubah pada masa kini perlu menjurus ke arah penjagaan kesihatan yang lebih baik. Tanpa tubuh badan yang sihat, pekerja tidak mungkin dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik malahan bakal menjadi beban majikan. Kepada majikan, hargailah pekerja sebagai aset yang amat bernilai. Wujudkan suasana kerja yang sihat. Jika pekerja dan majikan dapat memainkan peranan masing-masing, sudah tentu produktiviti dan kualiti kerja dapat ditingkatkan.

AWANG - Bekerja seperti biasa