Pemerintah Korea Utara tidak perlu campur tangan. Pembunuhan berlaku di negara ini maka sudah tentulah ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa Malaysia untuk menjalankan siasatan terperinci.

Sebelum ini pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta Korea Utara menghormati undang-undang ini dan tidak membuat tuduhan yang bukan-bukan.

Dalam memperkatakan kes ini, Awang berpendapat pemerintah Korea Utara perlu bertenang dan tidak perlu kelam-kabut jika mereka tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan. Kalau rakyat negara lain mati dibunuh di negara ini sudah pasti kerajaannya akan meminta siasatan terperinci dijalankan, tetapi tindak-tanduk Korea Utara agak aneh.

Mereka menimbulkan ketegangan diplomatik yang tidak sewajarnya dan sanggup mempertikaikan kewibawaan serta integriti pihak berkuasa Malaysia. Justeru Awang berharap pihak berkuasa negara ini akan meneruskan siasatan tanpa mempedulikan apa juga tekanan Korea Utara.

AWANG - Yakin kepada PDRM.