Walaupun surat itu bertarikh 26 Mei 2010 atau enam tahun lalu tetapi jelas menjadi bukti bahawa penafian kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini hanyalah pembohongan. Kalaulah surat seum­pama itu wujud maknanya berlaku campur tangan.

Oleh itu tidak perlulah pemimpin-pemimpin DAP dan sekutunya berdolak-dalih lagi. Adalah lebih baik mereka menganggap apa yang berlaku satu keterlanjuran yang tidak harus diulangi.

Memandangkan isu ini berkaitan hal ehwal agama Islam dan di bawah urusan Mufti Pulau Pinang dan Jawatankuasa Fatwa, kerajaan negeri tidak berhak campur tangan. Apapun keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu adalah demi kepentingan umat Islam dan agama Islam. Janganlah segala-galanya mahu dipolitikkan.

Awang berharap Kerajaan DAP Pulau Pinang akan menjadikan isu ini sebagai pengajaran dan lebih berhati-hati dalam perkara berkaitan hal ehwal Islam. Kalau sekadar mahu berbincang, tidak ada masalah, tetapi janganlah bertindak seolah-olah mahu campur tangan.

AWANG – Sentiasa hormati fatwa.