Sejak 2016 hingga sekarang dilaporkan sebanyak 3,714 umat Islam menjadi mangsa dan paling malang yang melakukan perbuatan itu bukan sahaja syarikat tidak berlesen malah yang berlesen pun sanggup melakukan jenayah tersebut.

Bagi Awang, tindakan mereka benar-benar tidak bertanggungjawab kerana sanggup memperdayakan umat Islam yang mahu beribadah ke Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Kalaupun kemaruk sangat mahu kaya cepat, carilah cara lain bukannya dengan kegiatan menipu, lebih-lebih lagi jemaah umrah.

Awang berharap kes penipuan yang berlaku akan mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa. Ambil tindakan setegas-tegasnya dan pastikan mereka yang terlibat dikenakan hukuman seberat-beratnya.

Pada masa sama Awang juga berharap umat Islam yang mahu mengerjakan umrah akan menyelidik terlebih dahulu sesebuah syarikat yang menawarkan pakej berkenaan.

Jangan terpedaya dengan janji-janji manis pengusaha pakej umrah, sebaliknya periksalah rekod syarikat itu supaya tidak menjadi mangsa.

AWANG – Tidak suka penipu