Kenyataan itu bagi Awang amat menggerunkan dan merisaukan. Bayangkan seawal usia 13 tahun anak-anak ini sudah disogokkan de­ngan wang dan dadah. Kita pun tahu betapa besarnya nilai wang RM50 bagi seorang pelajar, lebih-lebih lagi bagi yang tinggal di kawasan kampung, pekan atau bandar kecil. Jus­teru jika tidak ada pemantauan dan pengawasan, memang de­ngan mudah anak-anak ini termakan ‘umpan’.

Memandangkan polis sendiri sudah mengenal pasti modus ope­randi pengedar dadah ini, bagi Awang tanpa bertangguh-tangguh lagi operasi besar-besaran perlu digerakkan bagi memburu dalang iaitu pengedar dadah ini dan para rekrutnya. Jika perlu diletakkan anggota polis di sekolah-sekolah, lakukanlah. Tindakan pengedar dadah ini menjadikan pelajar sebagai sasaran kegiatan haram mereka cukup tidak bermoral, yang boleh dianggap sebagai cubaan ‘membunuh’ anak bangsa dan menghancurkan masa depan mereka, bahkan juga mensabotaj negara.

Justeru semua pihak terlibat daripada polis, AADK, Kementerian Pendidikan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat keseluruhannya patut berganding bahu ‘membebaskan’ sekolah daripada menjadi sarang penagih. Didik dan ajar anak-anak kita agar membenci dadah. Jadikan misi ini sebagai agenda utama tahun 2017.

AWANG - Dadah musuh nombor 1