Meneliti antara punca kemalangan berdasarkan kenyataan saksi antaranya bas dipandu terlalu laju, Awang percaya sesiapa pun sudah dapat menghidu bahawa kemalangan maut ini berlaku disebabkan kelalaian manusia. Faktor tambahan yang biasa ‘diulang tayang’ iaitu mengejar trip, mengantuk atau letih kerana tidak ada pemandu kedua, menjadi rencah cerita.

Seperti lazimnya kemalangan yang meragut banyak nyawa ini berlaku pada musim perayaan iaitu menjelang cuti panjang Hari Natal. Ini bermakna ada yang dalam perjalanan pulang menemui keluarga bagi menyambut perayaan itu atau pun untuk bercuti di kampung halaman. Apa jua tujuannya, perjalanan itu yang antaranya bagi menemui insan tersayang tidak menjadi kenyata­an. Awang hanya mampu meng­ucapkan takziah kepada waris mangsa yang terkorban. Berat mata memandang, berat lagi hati mereka yang menanggung.

Pada masa sama Awang berharap pihak yang bertanggungjawab khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak lekas ‘menutup’ kes ini sebagai satu episod kemalangan biasa. Kes kemalang­an maut yang terus berlaku di sebalik pelbagai langkah kawalan yang diperkenalkan bagi mengekangnya menunjukkan masih ada lompong yang perlu diperbaiki. Mungkin dalam sistem pemantauan pemandu pengangkutan awam, syarikat bas atau kenderaan itu sendiri. Awang serahkan kepada mereka yang pakar untuk mengkaji punca dan mencari penyelesaiannya.

AWANG - Yakin ada jawapan.