Kejadian ibu atau bapa ditangkap kerana mencuri untuk memberi anak makan atau menyediakan keperluan lain kepada anak-anak sudah banyak kali dilaporkan oleh pihak media sebelum ini.

Memang, kita tidak patut menyokong perbuatan mencuri walaupun untuk alasan apa pun kerana ia adalah salah di sisi undang-undang dan agama melarangnya, pun begitu, Awang berpendapat golongan seperti inilah yang perlu dibantu supaya mencuri bukan menjadi jalan penyelesaian dan terakhir kepada mereka.

Awang percaya ramai yang akan tampil membantu sekiranya tahu kesusahan yang dialami. Selain mengadu kepada agensi dan pertubuhan kebajikan, aduan juga boleh dibuat ­melalui media sosial. Kesusahan itu akan disebarkan. Rakyat negara ini pemurah. Jika mereka amat prihatin terhadap penduduk negara luar yang ditindas dan dizalimi, apatah lagi kesusahan rakyat di negara sendiri.

Dalam pada itu, Awang berharap wakil rakyat di kawasan masing-masing, turunlah padang mendengar masalah rakyat. Yang susah dibantu. Inilah kerja YB. Jangan tunjuk muka apabila tiba pilihan raya saja.

AWANG – prihatin.