Malam kelmarin di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam, Awang melihat tidak kurang daripada tujuh buah kenderaan ditahan oleh anggota polis trafik kerana menggunakan laluan kecemasan. Pemandu-pemandu terbabit semuanya tergesa-gesa. Semua mahu cepat. Sedangkan kebanyakannya mungkin setakat mahu pulang ke rumah. Tiada urusan kecemasan pun.

Semalam Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk V. Valluvan memberitahu, lebih 7,000 kenderaan disaman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Puncak sejak Mei hingga November lalu atas kesalahan tersebut. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,200 kesalahan telah dilaporkan oleh pengguna jalan raya menerusi ruangan aduan yang disediakan JPJ.

Awang mengharapkan dengan kekerapan operasi dijalankan oleh pihak berkuasa, tidak kira polis trafik atau JPJ, ia akan mengurangkan penyalahgunaan lorong kecemasan. Pada masa sama, kita juga mahu pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, melaporkan pemandu yang melakukan perbuatan ini. Bukan mahu menganiaya sesama manusia, tetapi memberi pengajaran kerana perbuatan yang melanggar undang-undang ini boleh menyusahkan dan membabitkan nyawa orang lain.

AWANG – Bertimbang rasalah.