Kedua-dua rang undang-undang yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 23 November lalu itu, sememangnya amat ditunggu-tunggu untuk mengekang kegilaan segelintir individu kaya yang tanpa rasa malu, sanggup berhabis ribuan ringgit membeli darjah kebesaran ini untuk mengangkat diri­nya dalam bidang perniagaan selain mahu dipandang tinggi dalam masyarakat.

Sebelum ini pun akhbar Awang sudah banyak kali membuat laporan eksklusif yang mendedahkan terdapatnya individu yang membayar sehingga RM100,000 kepada pihak tertentu dari dalam negara dan negara jiran untuk mendapatkan gelaran Datuk atau Datuk Seri palsu ini.

Awang berharap dengan perkembangan ini, ia dapat memberi pengajaran kepada pemberi dan pemilik bahawa perbuatan ini adalah satu kesalahan serius yang boleh didenda atau dipenjarakan. Ini sekali gus dapat menjadikan gelaran itu sebagai sesuatu yang amat dihormati kerana ia sememangnya hanya diberikan kepada orang yang berjasa dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

AWANG - Hormati institusi raja-raja.