Kerja-kerja itu akan menjejaskan operasi di loji-loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang. Notis gangguan sudah pun diberikan awal. Pun begitu, ketiadaan bekalan air dalam tempoh yang agak lama iaitu bermula awal pagi sehingga waktu tengah malam tentunya menjejaskan kehidupan harian. Air adalah keperluan paling utama dan asas, selain elektrik.

Ketiadaan air yang dijadualkan selama enam hari mengikut kawasan-kawasan tertentu ini, pasti mengundang rimas dan risau orang ramai. Ini bukan sekali atau dua kali gangguan bekalan air berlaku dalam setahun. Sudah beberapa kali.

Ditambah pula gangguan berlaku dalam musim cuti persekolahan yang mana anak-anak kebanyakannya berada di rumah dan berlangsungnya banyak majlis kenduri-kendara. Ketiadaan air amat membebankan.

Justeru, Awang mengharapkan pihak yang terbabit dapat memikirkan mekanisme yang lebih baik, bagi mengelakkan orang ramai tidak terjejas dengan ketiadaan bekalan air ini dalam apa jua kerja-kerja penyelenggaraan atau penambahbaikan yang hendak dilakukan pada masa akan datang.

AWANG – Sudah simpan air.