Pelbagai tujuan seseorang itu melibatkan diri dalam politik termasuk menjadi wakil rakyat. Tidak salah bagi orang politik khususnya bercita-cita menjadi wakil rakyat. Bagaimanapun hasrat itu mestilah diiringi dengan semangat untuk membantu rakyat dan membangunkan negara. Jangan selepas bergelar wakil rakyat, mereka melupakan rakyat, tidak mendampingi masyarakat dan hanya muncul menjelang pilihan raya.

Tidak dinafikan, ada yang menyertai parti politik kerana ingin mengambil kesempatan untuk mendekati pihak-pihak tertentu bagi memudahkan urusan mereka mendapatkan projek. Bukan setakat wakil rakyat tetapi mereka yang mempunyai jawatan di pelbagai peringkat parti turut mengambil kesempatan.

Kecenderungan mengejar habuan ini mungkin dipengaruhi oleh kehidupan mewah dalam kalangan pemimpin politik.

Awang bagaimanapun percaya tidak semua yang bersikap sedemikian. Masih ramai yang menjadikan politik untuk berkhidmat kepada masyarakat. Tanpa jawatan wakil rakyat, mereka memberi sumbangan kepada masyarakat secara sukarela.

Bagi mereka, apa yang penting ialah mempertahankan kedudukan parti yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air. Keghairahan mereka menjalankan tugas secara sukarela adalah bagi memenangi hati rakyat dan secara tidak langsung memelihara nama baik parti.

AWANG – Tidak ada cita-cita politik