Pada masa yang sama hukuman boleh dijadikan pengajaran atau teladan kepada orang lain supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap mana-mana penjawat awam ketika menjalankan tugas. Bukanlah kali pertama penjawat awam terutamanya penguat kuasa dikasari, diugut, dipersenda dan dimalukan semasa menjalankan tugas yang diamanahkan.

Hanya kesabaran yang melindungi penjawat awam ini daripada bertindak di luar batasan. Namun sebagai manusia, sejauh mana kesabaran itu dapat dibendung sekiranya gangguan melam­paui batasan? Diharapkan, penjawat awam tidak gentar dengan sebarang bentuk ancaman ketika menjalankan tugas.

Bagi orang ramai pula, Awang percaya masih ada saluran untuk menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap tindak- tanduk penjawat awam semasa bertugas. Rayuan dan aduan boleh dibuat jika kita menganggap kesalahan yang dilakukan itu kecil serta boleh dimaafkan.

Tidak perlu bertindak dengan kekerasan yang boleh dianggap menghalang tugas atau menakutkan penjawat awam. Tindakan seumpama itu amat tidak wajar kerana penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

AWANG - Hormat penjawat awam.