Tempoh 31 tahun menganjurkan Hadiah Sastera bukanlah manis sepanjang jalan. Masalah kewangan sering menjadi hambatan. Namun atas rasa tanggungjawab untuk mengangkat karya sastera Melayu ke tahap yang tinggi, dalam payah pantang menyerah, perjuangan tetap diteruskan.

Justeru Awang ucapkan terima kasih atas perhatian Ahmad Zahid. Awang harap gesaan beliau agar lebih banyak syarikat swasta memberikan komitmen dengan terlibat sama dalam penganjuran sayembara sastera ini, akan mendapat sahutan. Saranan beliau agar diwujudkan mata pelajaran Sastera di pelbagai peringkat pendidikan dan aliran juga patut disambut oleh kementerian berkenaan.

Tidak dapat dinafikan bagi generasi muda, sastera Melayu kini terlalu a­sing buat mereka. Mereka lebih mengenal William Shakespeare daripada Munshi Abdullah. Namun mereka tidak boleh dipersalahkan. Persekitaran kehidupan sekarang yang lebih banyak mendedahkan mereka dengan Kesusasteraan Inggeris berbanding kesusasteraan tempatan. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan, sama sekali tidak membantu usaha pengembangan sastera tempatan apatah lagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

AWANG – Baca Hikayat Hang Tuah.