Bagi Awang, kenyataan Pengerusi Bersih Maria Chin berhubung perkara itu mencabar pihak berkuasa. Oleh itu Awang berharap pihak berkuasa tidak lagi bertolak ansur atau berkompromi dengan puak yang ternyata tidak mahu menghormati undang-undang itu.

Awang menyokong penuh apa juga langkah yang akan dilakukan oleh pihak polis dalam usaha menjaga ketenteraman awam. Perhimpunan haram itu dalam keadaan apa pun tidak harus dibenarkan kerana tidak mendatangkan faedah kepada negara.

Tindakan mereka untuk terus mengadakan perhimpunan haram berkenaan akan menyusahkan banyak pihak khususnya warga kota yang mahu menjalankan aktiviti di hujung minggu. Walaupun penganjur memberi jaminan bahawa mereka akan berhimpun secara aman, soalnya kenapa tidak memohon permit supaya boleh diselia dengan baik melalui bantuan polis.

Oleh itu Awang menggesa pihak polis bertindak tegas dan mengheret mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram itu ke muka pengadilan. Jika tiada tindakan percayalah selepas ini kita akan menyaksikan lebih banyak perhimpunan tidak bertamadun seumpama itu.

AWANG – Benci demonstrasi