Apa yang diharapkan, semua persiapan terutama berkaitan kertas soalan, pusat peperiksaan serta kemudahan lain tidak akan menghadapi masalah. Semua pihak menaruh harapan tinggi agar peperiksaan dapat berjalan lancar tanpa rintangan atau halangan.

Kita tidak mahu peperiksaan ini diselubungi isu yang boleh menjejaskan tumpuan calon-calon peperiksaan. Semoga tidak berlaku lagi isu seperti kebocoran soalan, kertas soalan tidak mencukupi atau lewat sampai ke pusat peperiksaan.

Awang juga mengharapkan kesemua 3,732 pusat peperiksaan dalam keadaan yang baik, tidak terdedah kepada unsur-unsur yang boleh mengganggu perjalanan peperiksaan itu. Bagi menghadapi kemungkinan banjir pula, Kementerian Pendidikan sudah pasti telah mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan calon-calon peperiksaan tidak terjejas.

Semoga semua urusan calon-calon SPM akan dipermudahkan.

AWANG - Doakan yang terbaik.