Perkara 7 dalam Perjanjian 20 Perkara yang membawa kepada pembentukan Malaysia cukup jelas menghuraikan bahawa cadangan seumpama itu tidak seharus­nya ditimbulkan. Awang yakin pihak yang membangkitkan hal itu tidak buta sejarah tetapi berbuat demikian dengan niat jahat, sekaligus cuba menafikan hakikat bahawa penggabungan Sabah dan Sarawak dengan Tanah Melayu 51 tahun lepas telah membawa banyak faedah termasuk kepada Sabah dan Sarawak. Jelas sekali persetujuan lebih 80 peratus rak­yat kedua-dua negeri itu dalam referendum Suruhanjaya Cobbold dahulu tidak sia-sia.

Berkat persefahaman tersebut, pembangunan Sabah dan Sarawak dalam pelbagai bidang jelas meningkat. Hasilnya, taraf hidup rakyat semakin maju.

Seperti mana pandangan rakyat di Sabah dan Sarawak termasuk kalangan terdahulu, Awang juga percaya kemajuan, kestabilan dan keamanan yang dikecapi di wilayah itu sekarang tidak mungkin menjadi kenyataan sekiranya sejarah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 tidak berlaku.

Awang menyatakan pihak yang menghasut itu juga tidak berpijak di bumi nyata jika dilihat dari aspek ke­selamatan. Betapa sampai sekarang Sabah berdepan dengan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan penduduk negeri itu. Sudah tentu tidak mudah bagi Sabah secara sendirian untuk berdepan dengan cabaran-cabaran bersifat antarabangsa itu.

Awang - Masa untuk bersyukur.