Isu ini boleh diatasi dengan baik sekiranya rakyat diberi penjelasan yang sewajarnya. Sama seperti yang berlaku ke atas pemansuhan subsidi gula. Tidak ada sesiapa yang suka dengan kesan kenaikan harga bahan keperluan ini. Bagaimanapun rakyat masih ada pilihan untuk mendapatkan minyak masak bersubsidi.

Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.05 bilion untuk menampung subsidi minyak masak. Hakikatnya, siapakah yang lebih banyak mendapat manfaat? Timbul juga persoalan kenapa subsidi minyak ditarik balik sedangkan Malaysia adalah negara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.

Rakyat perlu tahu sejauh mana hasil jualan kelapa sawit dan minyak sawit mampu menampung subsidi minyak masak. Memang sukar untuk meyakinkan rakyat yang selama ini bergantung harap kepada subsidi tetapi penjelasan perlu dibuat.

Awang juga mengalu-ngalukan usaha kerajaan untuk memperhebatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan minyak bersubsidi ini mengalir ke luar negara. Pesanan kepada peniaga dan pengguna, bahan bersubsidi ini seharusnya hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia. Jangan ada yang mengkhianatinya.

AWANG – Sedar pengaruh subsidi.