Tindakan segelintir peniaga yang tidak berintegriti menyebabkan pengguna menghadapi masalah. Tidak dinafikan juga, ketika harga peket 1kg. kekal pada RM2.50, ramai pengguna amat terasa dengan kenaikan ‘mendadak’ harga bagi bekalan di dalam botol seberat 3kg. dan 5kg. Harganya pula mengikut jenama dan lokasi.

Hakikatnya, pengguna tidak dapat mengelak membeli mengikut harga pasaran. Mereka boleh membuat pilihan sama ada membeli minyak masak bersubsidi mengikut keperluan atau sebalik­nya. Isunya, adakah bekalan dalam peket mencukupi?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan harus menjelaskan kedudukan sebenar berhubung isu ini supaya rakyat lebih faham dan jelas. Elakkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi tidak menyenangkan. Pemantauan berterusan juga perlu dilakukan supaya minyak masak bersubsidi hanya untuk penggunaan persendirian.

Awang juga berharap, tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan minyak masak bersubsidi untuk tujuan perniagaan. Para peniaga pula tidak seharusnya mengambil kesempatan menaikkan harga makanan yang menggunakan minyak masak.

AWANG – Pilih ikan bakar