Penipuan skim cepat kaya ‘Islamic Hotel’ yang terbongkar baru-baru ini adalah buktinya. Ada pihak sanggup ‘menjual’ nama Islam dan tanah suci Mekah, untuk menjerat umat Islam membuat pelaburan dalam skim palsu sehingga mengakibatkan kerugian beratus juta ringgit. Pada masa sama, ada pula pihak sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga apabila dijanjikan pulangan lumayan dan pahala berganda, walaupun janji-janji yang ditabur itu cukup meragukan.

Awang pun pelik kenapa masih ada orang yang cukup mudah terpedaya dengan skim palsu ini. Formulanya jelas iaitu menjanjikan keuntungan lumayan, dalam masa singkat. Semua skim cepat kaya palsu yang terbongkar sebelum ini pun, itu jugalah modus operandinya. Malangnya masih ada yang termakan umpan. Semuanya gelap mata apabila dijanjikan wang. Dan dalam kes skim ‘Islamic Hotel’ ini pula ganjaran pahala atau ‘saham akhirat’ menjadi umpannya.

Justeru Awang hendak ingatkan sekali lagi, buat sekian kali­nya, janganlah mudah percaya terhadap apa juga skim seum­pama ini walaupun atas nama agama. Nama Islamik tidak semestinya halal. Sebabnya terbukti sudah banyak kes jenayah dan sivil dilakukan oleh orang yang bertopengkan agama atau berselindung di sebalik nama berunsur agama. Ingatlah tidak ada cara mudah untuk kaya, begitu juga tidak ada jalan singkat untuk ke syurga!

AWANG – Harap skim pencen.