Justeru ketirisan yang berlaku terhadap penyeludupan minyak masak bersubsidi perlu dibendung dengan segera kerana kerajaan terpaksa menanggung kerugian hampir RM500 juta. Ketika rakyat tempatan tercari-cari bekalan minyak masak, dalam masa yang sama, rakyat luar negara pula dapat membeli minyak masak bersubsidi yang seharusnya dinikmati oleh penduduk negara ini.

Memang kerajaan tidak boleh mengambil apa-apa tindakan sekiranya minyak masak berkenaan dijual di pasaran terbuka di negara jiran, Thailand atau Kalimantan. Hanya langkah pencegahan yang dapat membendung gejala ini daripada berterusan.

Jika begitu banyak minyak masak boleh didapati di negara jiran, ini bermakna begitu mudah penyeludupan dilakukan. Sekiranya maklumat tidak bocor, penguatkuasaan dan pemantauan benar-benar dilakukan oleh semua agensi penguat kuasa, tidak ada sebab penyeludupan tidak boleh dibanteras.

Justeru semua agensi penguat kuasa perlu bertindak lebih tegas de­ngan melakukan ‘pembersihan’ dalang yang disyaki memainkan peranan aktiviti penyeludupan ini. Awang percaya, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

AWANG – Tidak bocor maklumat dalaman