Pencipta laporan ini pandai mengolah seolah-olah apa yang dilaporkannya betul. Tidak dinafikan ada laporan yang betul tetapi masih ada beberapa fakta yang mengelirukan. Tokok tambah ‘fakta’ kadang-kadang menimbulkan rasa panik dan cemas.

Kelmarin, ketika heboh mengenai kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, ada yang menyebarkan berita jumlah kematian dan punca kebakaran yang meragukan. Muncul juga ‘pekeliling larangan’ mengecas telefon bimbit di soket elektrik panel bekalan oksigen di Hospital Serdang. Menjelang malam, tersebar senarai bencana di Johor termasuk kononnya berlaku kebakaran sebuah sekolah. Padahal itu kejadian 2014. Tanpa usul periksa, ramai yang percaya dan menyebarkannya kepada orang lain.

Apakah satu kepuasan bagi mereka yang membuat laporan itu sehingga boleh mencetuskan kerisauan orang ramai? Nampaknya media sosial semakin menjadi ancaman.

Awang berharap, orang ramai tidak mudah menyebarkan laporan yang belum sahih. Isu-isu berkaitan keselamatan dan nyawa manusia tidak harus dipermainkan. Kepada pihak berkuasa, pantaulah keadaan ini. Bertindak segera menjawab ‘tohmahan’ yang berkaitan supaya orang ramai tidak terus keliru.

AWANG – Tapis maklumat