Sempena sambutan Maal Hijrah kali ini, satu acara peringkat kebangsaan diadakan di Taman Ekspo Agropertanian Serdang (MAEPS), Selangor, dengan bertemakan, Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah.

Tema kali ini bagi Awang cukup signifikan dalam keadaan perpaduan umat Islam kelihatannya semakin rapuh sehinggakan musuh-musuh Islam semakin berani mengancam agama suci itu dan penganutnya. Pengganas dan pelampau yang memakai topeng agama pula memburukkan lagi imej Islam lantas menyebar luas Islamofobia.

Umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa pun untuk menangkisnya. Mereka hanya mampu bersuara sedangkan suara negara-negara Islam hanya dipandang sepi kerana tidak cukup kuasa dan kekuatan untuk mengubah pandangan dunia.

Perpecahan dan ketidakstabilan politik dalam negara-negara Islam juga menjejaskan prestij pemimpin Islam di peringkat antarabangsa.

Justeru amatlah penting untuk umat Islam menghayati tema sambutan Maal Hijrah kali ini.

Gerakkan usaha penyatuan bermula dari bawah iaitu dalam diri sendiri, keluarga, komuniti, pertubuhan, negara seterusnya ke peringkat global. Sahutlah seruan agama dengan membina ukhuwah Islamiah dan jangan lagi berpecah-belah. Hal ini kerana tidak ada siapa yang untung jika berlaku perpecahan sebaliknya semuanya akan menjadi abu dan arang.

AWANG – Berhijrah minda.