Lebih melegakan, pada tahun ini tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini seperti pada tahun lalu. Secara keseluruhan, tidak berlaku sebarang peristiwa yang boleh menjejaskan ibadah haji. Bagi sembilan jemaah kita yang tidak berjaya melaksanakan ibadah wukuf akibat masalah kesihatan, didoakan mereka akan memperoleh peluang kedua.

Tahniah juga kepada jemaah yang setakat ini dapat sama-sama menjaga nama baik Malaysia semasa berada di Mekah dan Madinah. Diharapkan, dengan disiplin yang ditunjukkan itu, kerajaan Arab Saudi dapat mengekalkan kuota atau menambahnya pada masa hadapan.

Awang juga ingin mengucapkan tahniah kepada Tabung Haji kerana berjaya mengendalikan perjalanan jemaah dengan baik. Apa pun sebarang kekurangan harus diberi perhatian. Berdasarkan maklum balas yang akan diterima, Tabung Haji boleh meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada jemaah pada masa akan datang.

AWANG - Sabar menunggu giliran