Seorang rakyat kita dilaporkan terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan.

Sehingga ini belum diketahui siapa yang bertanggungjawab dan apa motif kejadian itu.

Siri pengeboman di Selatan Thailand semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apa yang Awang harapkan satu jalan penyelesaian dapat dicari bagi menyelesaikan konflik di wilayah yang bersempadan dengan negara kita itu.

Namun, di sebalik kisah itu, ia seharusnya boleh dijadikan iktibar kepada kita semua. Rakyat harus bersyukur kerana Malaysia masih menjadi negara yang cukup aman dan tenteram.

Sejak keganasan komunis dihapuskan sekitar awal 80-an serta program penyusunan susunan semula masyarakat ekoran peristiwa 13 Mei 1969, negara ini terus memacu kegemilangan sehinggalah ke hari ini.

Rakyatnya hidup aman damai, bekerja keras dan menikmati kesejahteraan hidup. Berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, rakyat Malaysia dianggap bernasib baik kerana diterajui oleh kerajaan yang stabil.

Bagaimanapun, gelagat kumpulan tertentu sejak akhir-akhir ini yang mengungkit soal-soal perkauman sempit amat membimbangkan. Sebelum terlambat, gelagat itu harus dibendung dengan segera.

AWANG – Langitku di sini.