Sebaliknya titah baginda, polemik tentang agama perlu diurus dengan cermat, berhemah dan bijaksana. Jika gagal diurus dengan bijak, isu-isu berkaitan agama mudah membakar perasaan, apatah lagi jika ia ditimbulkan dengan niat tidak ikhlas kerana mempunyai muslihat peribadi dan sebagainya.

Titah Sultan Kelantan itu cukup jelas. Sekian lama negara kita dapat mempertahankan keharmonian dan perpaduan kaum yang pelbagai agama. Ia sebenarnya aset kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Awang yakin baginda menyentuh isu tersebut memandangkan kebelakangan ini beberapa isu berkaitan agama diperkatakan; dan sebahagiannya dirasakan dilakukan semata-mata untuk menangguk di air keruh.

Sebenarnya, tidak sukar untuk mempertahan keharmonian yang telah lama kita cipta, selagi semua pihak menyedari hakikat bahawa setiap orang tanpa mengira agama dan budaya perlu saling hormat menghormati.

Adalah menjadi tugas rakyat yang bertanggungjawab untuk memupuk semangat dan keadaan itu.

Sesetengah daripada kita mungkin gagal menilai betapa bertuahnya hidup di Malaysia kerana mereka tidak pernah membayangkan betapa siksanya hidup dalam keadaan yang penuh kecurigaan. Hidup dalam suasana penuh kecurigaan akan mengundang masalah yang lebih besar. Ia punca kepada permusuhan. Awang - Insaf.