Awang berharap, MSAM yang turun ke kawasan bandar kecil selepas penganjurannya tertumpu di bandar utama dapat mendidik masyarakat di pedalaman memahami kaedah pelaburan. Tanpa mengira latar belakang kehidupan, masyarakat harus mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai isu pelaburan unit amanah dan perancangan kewangan yang lebih berkesan.

Jika lebih faham, kemungkinan mereka tidak mudah tertipu dengan pelbagai skim pelaburan yang dikatakan membawa keuntungan segera. Sebelum ini, ramai yang terpedaya dengan pelbagai skim cepat kaya yang kononnya menjanjikan pulangan segera dan berganda. Hakikatnya, ada skim yang ‘berjaya’ di peringkat awal hanya bertujuan mengabui mata pelabur serta untuk menarik lebih ramai membuat pelaburan. Apabila penganjur mengaut keuntungan, pihak berkenaan lesap bersama modal pelabur.

Bagi mengelakkan penipuan, masyarakat perlu dididik dan didedahkan dengan pelaburan yang lebih terjamin. Awang yakin Permodalan Nasional Bhd. (PNB) boleh memainkan peranan ini melalui MSAM. Diharapkan juga melalui pameran dan pelbagai program lain, matlamat menarik 150,000 pengunjung akan tercapai. Di Sibu tahun lalu, MSAM mencatat kunjungan tertinggi iaitu 319,000 orang.

AWANG – Teringat Labu Peram