Justeru tidak hairanlah apabila wujud pelbagai dongeng lagi berkaitan GST, yang sengaja direka semata-mata kerana tidak mahu menerima hakikat, yang berkemungkinan kerana pihak terbabit mempunyai maksud yang tidak dapat kita selami.

Bagi Awang, dakwaan tokoh tertentu kononnya ada syarikat yang terpaksa tutup perniagaan dan berpindah keluar negara akibat pelaksanaan GST akan kekal sekadar dakwaan. Pihak Kastam menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak masuk akal ada kewajar­annya.

Apakah praktikal sesebuah syarikat mengubah lokasi pelaburan keluar negara hanya untuk melarikan diri daripada GST di negara ini yang kadarnya 6 peratus sedangkan negara baru yang dipilih itu berkemungkinan dikenakan GST pada kadar lebih tinggi?

Semua orang sedar, walaupun sesetengah pihak bercakap seolah-olah tidak tahu, bahawa kadar GST di negara ini lebih rendah berbanding kadar GST di negara-negara jiran. Cukup sukar bagi kita untuk menerima realiti jika kita sendiri berasa tidak berpijak di bumi nyata.

AWANG – Terima hakikat.