Dikenakan denda RM180,000, kemenangan 3-0 diberikan kepada Arab Saudi dan beraksi di stadium kosong menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tidak lama lagi dianggap hukuman yang seharusnya menyedarkan FAM.

Badan bola sepak itu perlu menjadikan hukuman tersebut sebagai pengajaran supaya jangan terlalu bertolak-ansur dalam berurusan dengan penonton-penonton yang mendakwa mereka peminat setia bola sepak negara.

Sebaliknya, FAM perlu menunjukkan ketegasan dengan memastikan penonton yang tidak bertamadun itu jangan dibenarkan lagi menjejak kaki ke stadium. Sepertimana ditegaskan oleh banyak pihak, pasukan bola sepak negara tidak memerlukan penyokong tidak berdisiplin kerana tindakan mereka boleh mendatangkan kemudaratan.

Kini apa yang dibimbangkan sudah menjadi kenyataan, FAM menerima hukuman akibat kealpaan mereka sendiri yang dikatakan memandang remeh amaran awal bahawa ada penyokong akan membuat kekacauan selepas dibelasah 0-10 oleh UAE sebelum itu. Oleh itu, FAM perlu salahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku.

AWANG - Benci penyokong ganas.