Pelbagai bentuk bahan kempen termasuk video ucapan dan aktiviti calon disebar secara meluas. Persembahan secara kreatif amat menarik. Begitulah kreativiti yang dimanfaatkan melalui kemajuan teknologi. Setiap calon atau penyokong sentiasa ber­usaha mencari yang terbaik untuk menarik perhatian pengundi.

Siapa pun kita dan parti apa yang diwakili, amalkan pendekatan berkempen secara berhemah. Elakkan kata-kata berbentuk maki hamun, mengaibkan, tuduhan melulu, pembohongan dan fitnah sehingga menimbulkan kebencian. Janganlah kerana satu hari penentuan, masyarakat berdendam dan bermasam muka.

Ingatlah, kita perlu hidup seperti biasa selepas berakhirnya PRU. Bagi mereka yang mendengar ceramah pula, kawallah pe­rasaan. Jangan terlalu mengikut emosi ketika mendengar hujah yang disampaikan. Pence­ramah mungkin sengaja menimbulkan provokasi bagi menarik perhatian. Bertenanglah.

Awang juga berharap parti-parti politik dapat mengelakkan ceramah serentak di lokasi yang sama bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Patuhilah peraturan berkempen supaya apabila pihak berkuasa bertindak seperti menurunkan poster, orang ramai tidak cepat menyalahkan kerajaan. Satu lagi perkara, jangan sebarkan berita yang tidak benar kerana risikonya amat besar.

AWANG – Hati-hati buat laporan.