Melalui Forum Perniagaan Malaysia-Arab Saudi, pelbagai memorandum persefahaman ditandatangani dan ini membuka peluang kepada syarikat atau rakyat Malaysia untuk meningkatkan hubungan dagangan. Syarikat Malaysia juga memperoleh 19 kontrak bernilai RM18.5 bilion meliputi sektor pembinaan, industri, aeroangkasa, perkhidmatan haji serta projek pengangkutan awam terutama berkaitan rel.

Pengalaman Malaysia menyelenggara rel Al Mashaaer 
Al Muqaddassah Makkah Metro sepanjang musim haji sebelum ini dapat meyakinkan Arab Saudi terhadap kepakaran Malaysia.

Diharapkan hasil lawatan julung kali Raja Arab Saudi ini akan turut membuka peluang kerjasama ekonomi yang lebih luas pada masa hadapan bukan sahaja melibatkan syarikat besar tetapi juga usahawan kecil dan sederhana terutama dalam industri halal.

Awang percaya, barangan Malaysia yang dipasarkan di Arab Saudi mampu menarik perhatian umat Islam dari seluruh dunia kerana setiap tahun kota suci Mekah menjadi tumpuan jutaan orang untuk menunaikan haji dan umrah.

AWANG - Terima kasih Kerajaan Arab Saudi.