Awang berharap selain perokok, pemilik premis juga mematuhi peraturan baharu ini demi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok.

Awang akui mungkin peringkat awal akan ada bantahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan perokok, maklumlah premis-premis tersebut khususnya restoran sering menjadi tempat mereka berkumpul.

Tetapi Awang yakin lama-kelamaan rakyat Malaysia akan biasa dengan peraturan tersebut kerana sudah banyak kawasan diisytiharkan kawasan larangan merokok.

Justeru Awang berharap tidak perlulah perokok resah gelisah. Apa yang dilakukan adalah demi kebaikan bersama.

Janganlah perokok begitu seronok menghembuskan asap yang mengundang penyakit kepada diri sendiri, juga boleh membawa bencana kepada orang sekeliling termasuk ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun sama ada peraturan ini berjaya atau tidak, selain sikap, ia juga bergantung kepada sejauh manakah penguatkuasaan dijalankan. Oleh itu pihak berkuasa perlu aktif memantau premis-premis terlibat bagi memastikan ia benar-benar dipatuhi, bukan sekadar catatan dalam kalendar 2019.

Awang – Tidak suka asap.