Lihat sahaja anugerah dan darjah kebesaran palsu. Muncul di sana sini sultan atau raja palsu yang sewenang-wenangnya meng­anugerahkan darjah kebesaran. Penerimanya pula tanpa silu bangga memperagakan gelaran berkenaan. Mujurlah kini sudah ada undang-undang untuk mengawal perkara ini.

Begitu juga dengan berita palsu. Hampir saban hari be­rita palsu muncul dalam media sosial. Kita bahkan seperti tidak mampu lagi membezakan antara berita palsu dan sahih.

Yang terbaharu, seperti didedahkan akhbar Awang semalam dan hari ini, gelaran tertinggi akademik palsu iaitu PhD boleh diperoleh hanya dalam tempoh 24 jam. Tinggal bayar sahaja. Sebelum ini pun ada selebriti dan pakar motivasi yang didapati menggunakan ijazah palsu.

Semua ini perlu dihentikan. Kita semua mesti bergerak melawan kepalsuan. Langkah pertama ialah jangan sesekali menghargai orang yang ada kaitan dengan perkara palsu. Pulaukan mereka sama ada yang menggunakan gelaran palsu, ijazah palsu mahupun pembuat dan penyebar berita palsu.

AWANG - Menghormati orang kerana ilmunya.