Ia adalah langkah tepat untuk memastikan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab mencetuskan insiden tersebut dibawa ke muka pengadilan.

Selain itu syabas juga kepada polis kerana menubuhkan pasukan petugas khas bagi tujuan yang sama. Awang sentiasa yakin apabila polis bertindak demikian, hasilnya pasti amat mengagumkam.

Justeru semua pihak perlu memberi sokongan kepada kesungguhan pihak polis dalam menyelesaikan kes ini. Berilah kerjasama termasuklah tidak membuat kenyataan yang bukan-bukan bermotifkan politik dan menyebarkan berita palsu berhubung kejadian tersebut.

Dalang di sebalik rusuhan itu termasuklah penjenayah yang memukul anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim hingga cedera parah harus diburu habis-habisan. Mereka tidak boleh dibiarkan terlepas.

Ia memandangkan isu kuil tersebut telah meletakkan seluruh negara berada dalam keadaan tidak tenteram selepas ia pada awalnya digambarkan sebagai isu perkauman. Nasib baiklah pihak polis cepat bertindak untuk menenangkan keadaan dengan menegaskan ia adalah perbuatan jenayah, bukannya perkauman.

Pada masa sama, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan Muhammad Adib. Semoga anggota bomba berusia 24 tahun itu segera sembuh.

AWANG - Doa untuk Adib.