Diharapkan, UTC seumpama ini dapat diperluaskan termasuk di peringkat daerah tertentu. Kerajaan negeri pula perlu bekerjasama menyediakan lokasi yang difikirkan sesuai. Banyak ba­ngunan sedia ada yang sebelum ini terbiar dalam keadaan ‘muram’ boleh dibangunkan semula sebagai UTC.

Tanpa perlu bergerak ke merata tempat, banyak urusan dapat diselesaikan di bawah satu bumbung. UTC menyediakan pelbagai perkhidmatan terutama berkaitan agensi kerajaan dan swasta.

Lebih memudahkan apabila ia beroperasi sehingga pukul 10 malam kecuali pada hari cuti umum. Memang benar seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kemudahan seumpama itu tidak dapat disediakan di negara lain kecuali Malaysia. UTC juga dapat menyediakan peluang perniagaan sekiranya terdapat lot-lot perniagaan.

Awang percaya walaupun banyak urusan kini diselesaikan secara dalam talian, tetapi rakyat masih memerlukan perkhidmatan kaunter seperti di UTC. Diharapkan masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan ini. Sambutan yang diberi di kebanyakan UTC kini amat menggalakkan sehingga kadang-kadang ada yang terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan urusan mereka.

AWANG - Sering ke UTC Pudu Sentral.