Diharapkan, perkhidmatan itu tidak terbatas untuk jemaah dari Malaysia sahaja sebaliknya diperluaskan ke negara-negara rantau ini. Mungkin KLIA boleh dijadikan hab penerba­ngan umrah. Ketika ini, agensi pelancongan tempatan telah pun memberi kepercayaan kepada MAB untuk menggunakan per­khidmatan sewa khas. Sambutannya amat menggalakkan dan berpotensi untuk dikembangkan berdasarkan kemam­puan masyarakat Islam di negara ini untuk menunaikan umrah.

Pada masa yang sama, diharapkan langkah ini juga dapat membantu MAB mencatatkan pertumbuhan yang menguntungkan pada tahun 2018. Walaupun berhadapan dengan pelbagai suasana yang mencabar ketika ini termasuk kelemahan ringgit, usaha pemulihan sudah mula menunjukkan hasil yang positif. MAB kini berada di landasan yang betul melalui pelbagai langkah pemulihan termasuk mengawal kos, kadar tambang yang kompetitif dan memperkenalkan laluan baharu.

Awang percaya, peneraju MAB akan terus berusaha memulih­kan syarikat yang sebelum ini diibaratkan ‘kapal yang mempunyai banyak kebocoran’. Lupakan sementara episod kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh. Bergeraklah ke hadapan untuk memulihkan keyakinan penumpang.

AWANG - Terbang bersama Malaysia Airlines