Insiden yang bermula dengan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu, menyerlahkan lagi kemampuan kerajaan untuk mengurus apa juga krisis dengan baik.

Insiden seperti ini apatah lagi berhadapan dengan sebuah negara tertutup seperti Korea Utara yang terkenal dengan sikap degilnya memerlukan keupayaan diplomatik tahap tinggi untuk diselesaikan. Sekali lagi kita telah membuktikan Malaysia Boleh!

Awang juga ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dari awal telah memberikan komitmen untuk mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia yang disekat daripada meninggalkan Korea Utara.

Kritikan dan kecaman termasuk daripada beberapa ahli politik pembangkang yang ingin menangguk di air keruh nampaknya tidak memberi kesan kepada keyakinan kerajaan khususnya Perdana Menteri untuk menyelesaikan krisis ini dengan aman tanpa pertumpahan darah.

AWANG – Syukur.