Layanan kerajaan terhadap wanita di negara ini hakikatnya tampak jelas berbeza berbanding kaum wanita di negara lain.

Golongan wanita di sini diberi kelebihan dari segi pembelaan hidup mereka dalam undang-undang selain pemberian kuota terhadap mereka dalam bidang politik dengan memegang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan dan exco kerajaan negeri.

Kita tidak akan jumpa kelebihan ini di kebanyakan negara Asia Barat dan negara sedang membangun.

Di sebalik itu, kuasa ‘tangan yang menghayun buaian’ ini tidak boleh dipertikaikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Statistik pada 2017 menunjukkan sebanyak 48.6 peratus pengguna internet di Malaysia terdiri daripada wanita selain mewakili separuh daripada lebih 14 juta pengundi berdaftar.

Rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencatatkan jumlah pemilih sehingga suku tahun ketiga 2017 meliputi 7.4 juta wanita (50.5 peratus) berbanding 7.3 juta lelaki (49.5 peratus). Pengundi wanita turut mendominasi jumlah pengundi di Putrajaya, Kedah dan Pulau Pinang.

Kesemua ini membuktikan pengundi wanita menjadi penentu penguasaan undi parti-parti politik dalam pilihan raya umum nanti.

AWANG – Sentiasa sanjungi wanita.