Diharapkan dengan pendakwaan itu, rakyat dapat memberi ruang kepada pihak pendakwa dan pembela menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi mencari kebenaran dan keadilan. Melalui proses undang-undang yang telus, Najib juga berpeluang mempertahankan diri atau ‘membersihkan’ namanya.

Dalam tempoh itu juga, semua pihak harus menghormati proses undang-undang dengan menghentikan sebarang spekulasi berkaitan pertuduhan itu. Bersalah atau tidak, biarlah mahkamah yang memutuskannya. Institusi perundangan lebih layak membuat keputusan. Jangan menghukum seseorang sebelum kesalahan dibuktikan.

Awang juga berharap, masyarakat menghentikan tindakan yang boleh mengaibkan bekas Perdana Menteri itu. Adalah tidak wajar, masyarakat ‘menyerang’ Najib dengan menyebarkan bahan-bahan yang boleh dianggap sebagai persendaan atau fitnah. Suka atau tidak, hormatilah kedudukannya sebagai bekas pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara ini.

AWANG - Tunggu tindakan seterusnya