Sebagai bulan ibadah, sepanjang bulan puasa, ceramah politik perlu mengelakkan daripada fitnah, tohmahan dan caci maki. Walaupun ia bukan satu jaminan tetapi sekurang-kurangnya dapat menjadi garis panduan bagi membantu penceramah menghormati bulan Ramadan.

Mungkin kempen juga dapat berlangsung secara sederhana tanpa banyak bercakap sebaliknya melalui aktiviti ala kadar terutama selepas selesai solat sunat tarawih.

Sebelum ini, beberapa pilihan raya kecil (PRK) pernah diadakan pada bulan puasa.

Banyak aspek yang perlu diberi perhatiaan sebelum sebarang keputusan dibuat. Apa yang membimbangkan, Ramadan dicemari dengan pelbagai perkara yang boleh menampakkan keburukan dan kelemahan di mata masyarakat bukan Islam.

Terserahlah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukannya.

Hakikatnya, tanpa mengira masa, masyarakat Islam termasuk pemimpin politik perlu mengawal diri daripada me­lakukan tindakan yang terkeluar daripada syariat Islam.

Awang berharap, ketika berkempen, gunalah ‘senjata’ yang boleh meyakinkan rakyat bukannya menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan orang lain. Ingatlah matlamat tidak menghalalkan cara. Hubungan silaturahim perlu dipertahankan. Pamerkan kehidupan yang baik, berpandukan agama supaya menjadi panduan bukan Islam.

AWANG – Bersedia bila-bila masa.