Tabung Haji (TH) juga telah mengeluarkan kenyataan penafian berhubung perkara itu. Hakikatnya, seperti diketahui umum penentuan kuota adalah berdasarkan jumlah penduduk di sesebuah negara. Jika berlaku sekatan atau pengurangan pun adalah di­sebabkan kekangan kemudahan bagi menampung jemaah.

Diharapkan, pihak berkenaan tidak menjadikan ibadat sebagai modal untuk menimbulkan keresahan masyarakat. Tindakan seumpama itu akan menyebabkan bakal jemaah panik, resah dan kecewa selepas mereka mendapat surat tawaran.

Sebelum ini Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud pernah menegaskan bahawa baginda menolak sebarang percubaan untuk mempolitikkan ibadat haji. Semoga pendirian itu jelas dan tidak dikelirukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kepada bakal jemaah, teruskan persiapan untuk meneruskan perjalanan menuju ibadah ini.

Awang berharap, bakal jemaah dapat memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan baik. Kekuatan fizikal dan mental akan membantu mereka menunaikan ibadah dengan sempurna. Pada masa yang sama, jangan terperangkap dengan mana-mana ‘sindiket’ yang menjanjikan peluang menunaikan ibadah haji. Rujuklah kepada TH supaya tidak timbul isu jemaah terkandas.

AWANG – Terkenang musim haji lalu.