Parti berusia ‘setahun jagung’ itu gagal mengemukakan sepenuhnya maklumat dan dokumen yang diminta oleh RoS. PPBM bagaimanapun masih mempunyai peluang kedua dalam tempoh 30 hari sebelum pembubaran parti akan bersifat kekal.

Implikasi keputusan itu menyebabkan PPBM tidak boleh menjalankan aktivitinya. Begitu juga penggunaan logo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pendaftaran Pakatan Harapan juga terjejas kerana PPBM adalah salah satu komponen pakatan.

Pembubaran itu memberi satu tamparan hebat kepada parti yang dipimpin oleh mereka yang sebelum ini berpengalaman dalam politik dan pentadbiran. Amat malang, pemimpin-pe­mimpinnya gagal untuk menguruskan sebuah organisasi politik.

Berhubung pembubaran ini, ramai yang akan menuding jari kepada pihak kerajaan khususnya RoS tetapi hakikatnya, jabatan itu telah memberi peluang secukupnya kepada PPBM.

Awang percaya, RoS hanya menjalankan tanggungjawab bagi memastikan segala prosedur berkaitan dipatuhi. Siapa pun yang memimpin organisasi perlu bertanggungjawab. Perlu diingat bahawa pembatalan sesebuah parti bukanlah sesuatu yang baharu. PPBM perlu melihat kelemahan diri sendiri. Usah menuding jari.

AWANG – Teringat simbol bunga PRU-13.