Langkah ini juga diharap dapat ‘mendidik’ peniaga lain supaya bersaing secara sihat. Tindakan itu juga dapat membendung keghairahan orang tengah atau kartel untuk me­ngaut keuntu­ngan berlebihan. Keuntungan tidak terjejas hanya disebabkan meletakkan harga yang berpatutan.

Selama ini kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk me­ngurangkan beban rakyat. Melalui pelbagai subsidi termasuk kos pengangkutan, harga barang dapat dijual secara berpatutan. Kerajaan tidak ‘menutup mata’ atau ‘memekakkan telinga’ bagi menangani rintihan rakyat.

Peruntukan yang besar disediakan sama ada secara langsung atau tidak bagi mengurangkan beban rakyat. Bagaimanapun orang tengah perlu menghentikan tindakan memanipulasi harga. Tindakan mereka bukan sahaja meningkatkan kos sara hidup rakyat tetapi turut mencalarkan imej kerajaan.

Awang sedar selama ini rakyat disogokkan bahawa kenaikan harga disebabkan oleh cukai barang dan perkhidmatan (GST). Hakikatnya kenaikan itu dipengaruhi pelbagai faktor seperti kos pengeluaran dan tukaran wang. Kartel pula ghairah mengaut keuntungan sehingga rakyat menjadi mangsa. Lebih mendukacitakan, rakyat dihasut membenci kerajaan kerana GST.

AWANG - Belanja di kedai koperasi.