Lebih mendukacitakan seperti dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, perubahan dasar telah mewujudkan keadaan ‘cacamarba’ serta murid ‘bongkok’ sebelum waktunya. Dalam hal ini, bukanlah bermakna tidak boleh melakukan perubahan.

Sebarang perubahan atau penambahbaikan tidak seharusnya lari daripada matlamat sesuatu dasar yang dirangka. Anak-anak sebagai aset negara tidak boleh dijadikan bahan uji kaji. Memang mudah jika sesuatu perubahan itu gagal, jalan keluar adalah mansuhkan dan kembali ke asal atau memulakan yang baharu.

Akibatnya, ramai yang menjadi mangsa dan matlamat melahirkan generasi berilmu, berinovasi dan berdaya saing akan gagal. Justeru, pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dapat memberi nasihat yang tepat kepada menteri yang baharu dilantik.

Awang mengakui pendidikan adalah sesuatu yang dinamik dan memerlukan perubahan supaya anak-anak dapat dibangunkan secara holistik, kreatif dan inovatif. Bagaimanapun jangan kerana mahu mempraktikkan sesuatu teori baharu, dasar sedia ada diubah dan yang menjadi mangsa adalah murid-murid dan guru.

AWANG - Tiada kompromi isu bahasa.