Pemilihan mereka untuk memegang jawatan di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi (MT) itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Keutamaan harus diberi kepada tugas dan tanggungjawab yang lebih mencabar. Zon selesa sudah berlalu.

Sebagai permulaan, usaha perlu dilakukan untuk semua anggota parti kembali bersatu. Pemilihan tidak boleh melebarkan perpecahan. Kalah menang adat pertandingan, cuma bagaimana caranya untuk mengurangkan kesan kepada perpaduan parti.

Jika semuanya ikhlas dan jujur ketika bertanding, tidak timbul istilah merajuk, kecewa atau terpinggir. Dalam situasi sekarang, UMNO tidak boleh dibebankan dengan perpecahan. Mungkin pihak luar akan cuba melemahkan parti dengan isu pemilihan.

Awang percaya, perubahan tidak mudah dilakukan tanpa sokongan semua pihak. Masing-masing mempunyai peranan untuk dimainkan. Tanpa mengira kedudukan, berilah sumbangan bukan tekanan kepada kepemimpinan baharu untuk melakukan transformasi yang lebih berkesan dan menyeluruh demi ke­sinambungan dan kelangsungan UMNO.

AWANG - Tidak mudah melatah.