KERATAN Utusan Malaysia semalam.

Balik ke pangkal jalan adalah satu-satunya pilihan paling sesuai walau apa pun risiko dan padahnya. Yang penting ialah perpaduan dan kekuatan Melayu mengharung zaman di hadapan.

Selepas 22 tahun berlalu, adakah keputusan Ku Li untuk bertanding jawatan Presiden UMNO 16 Jun Sabtu lalu bisa me­nyatukan kembali UMNO yang goyah setelah Barisan Nasional (BN) yang ditunjanginya tumbang selepas 61 tahun berkuasa 9 Mei lalu?

Hakikatnya dari luar kelihatan banyak kelemahan perjua­ngan dalam UMNO. Dari luar juga nampak pelbagai perkara yang harus diperbetulkan demi bangsa, agama dan tanah air. Kata-kata tajam yang dilemparkan selepas UMNO dirobekkan Pakatan Harapan akibat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 tempoh hari tidak harus dijadikan igauan dan penghalang lagi.

Antara senduk dan kuali lagikan berlaga, inikan pula dalam kalangan pengamal politik. Jika ada pihak yang telah terbakar jambatannya, barangkali jamba­tan baharu boleh dibina dengan budaya gotong-royong atas niat Bersatu Bersetia Berkhidmat.

Kembalinya Ku Li ke persai­ngan presiden UMNO selepas peristiwa perebutan jawatan nombor satu parti itu paling di­ingati dalam sejarah politik negara 1987 - cuma tewas tipis 43 undi kepada Perdana Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohamad - ibarat sirih pulang ke gagang, pinang pulang ke tampuknya

Waima apa pun, sesiapa yang mengetuai UMNO era Malaysia Baharu hari ini, sama ada Ku Li, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahukan pesaing terbaharu, Khairy Jamaluddin (KJ), 42, cabarannya bukan mudah - amat getir yang memerlukan pendekatan di luar kotak, keberanian dan kreativiti yang tinggi.

Apatah lagi, Melayu dan bumiputera sekarang, baik di Felda, Felcra dan pedalaman bukannya lagi Melayu yang berfikir dan berwacana tentang isu mitos, tetapi sebahagian besarnya kini membabitkan isu rasionalisme peringkat tinggi.

Barangkali persaingan UMNO dan parti lawannya boleh digarap menerusi kisah perlumbaan antara ‘arnab dan kura-kura’. Semua yang tahu cerita ini pasti teringat, sekalipun arnab boleh berlari pantas, akhirnya kura-kura perlahan yang mencapai kemenangan kerana arnab leka dan tertidur.

Persoalannya, (andainya kura-kura diumpamakan UMNO yang kini tertinggal dalam penguasaan mandat rakyat), ­bolehkah kura-kura ini menang dalam senario arnab yang tidak leka dan tidak tidur seperti hakikatnya hari ini?

Rumusannya, kalaulah Tum­pang lalu boleh kongsikan di sini, UMNO masih ada harapan melalui pencapaian kerusi Parlimennya yang tertinggi (54) dalam kalangan semua parti politik di tanah air ini, boleh menang dengan dua syarat.

Pertama, kura-kura tidak sekali-kali menanggalkan kulitnya berapa berat sekalipun kulit memperlahankan perjalanannya - Melayu, Islam dan institusi raja.

Cuma UMNO wajib berpegang teguh kepada petua: “Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit”, kerana tanpa kulitnya, kura-kura bukan lagi kura-kura; malahan cicak bukan dan tikus pun bukan! Juga Melayu yang lupa lalu membuang ‘warna kulit’ jati dirinya, akhirnya akan kehilangan segala-galanya, iaitu Melayu bukan dan Muslim pun dia bukan!

Syarat kedua juga sangat pen­ting dipenuhi, iaitu kemenangan bangsa dan umat dapat dicapai hanya jika kita ikut fitrah hayat kura-kura dan bukan arnab. Perhatikan, rata-rata arnab hidup hanya 10 hingga 15 tahun, berbanding dengan kura-kura, iaitu 150 hingga melebihi 200 tahun!

Dan syarat ketiga yang sama mustahaknya juga, bergaullah dengan orang muda. Bahasa rakyat harus cekap difahami. Harus diingatkan, pengundi di saluran 4, 5 dan 6 lah yang bergerak agresif memenuhkan pusat-pusat saluran mengundi. Mereka terdidik dengan isu-isu semasa, bertenaga dan sanggup berbaris panjang biarpun
pusat mengundi sudah ditutup 5 petang.

Di laman-laman sosial dan aplikasinya, baik WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram, orang Melayu kurang berkata halus. Pepatah-petitih sudah dilupai. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Belum lagi kalau ada yang masih membaca buku Kiliran Budi karya Pendita Za’aba. Pasti sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk.

Ada dimomokkan, orang Melayu kononnya menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Dan dikatakan barangkali tepat dikatakan: “Koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak”. Namun, majoriti lebih bersetuju bahawa kerosakan ini (BN tumbang) adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita:

Jangan disalai ciku kedondong

Salailah ikan atas para

Jangan salahkan­

ibu mengandung

Salahkan badan yang buruk

pinta.

Apabila mandat rakyat beralih­, siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ia diubah sedemikian cara kerana rakyat berasa UMNO belum cukup untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa bersandar kepada orang lain.

Sudah petang ianya hari

Sudah kembang bunga ketola

Sudah datang kehendak hati

Sudah hilang sakit kepala.

Air di hulu sudah ke hilir

Buah maman tumbuh di Lukut

Pesaka dulu sudah bergilir

Kehendak zaman mesti diikut.

Pencapaian umur, 81 (Ku Li), 65 (Ahmad Zahid) waima Dr. Mahathir (92) sekalipun bak kata Inggeris-Amerika is no big deal. Jika badan sihat dan minda masih aktif, tiada apa-apa yang boleh dianggap sebagai pengaral, walaupun dalam istilah keusiaan sudah mencapai warga emas.

Jika beribadat, buatlah seakan-akan mati esok. Jika berjuang dan bertugas, lakukanlah seolah-olah akan hidup 1,000 tahun. Lakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Tak boleh setengah tiang, sambil lewa. Sama ada Ku Li, Ahmad Zahid atau KJ, terserah kepada perwakilan cawangan dan bahagian UMNO untuk membuat keputusan.