Dalam sejarah pembangunan tamadun, agama dan sistem nilai memainkan peranan penting dalam penampilan sebuah tamadun yang bertunjangkan ilmu dan etika. Etika Kristian masyarakat Barat dalam beberapa hal mengenai menepati waktu, kecenderungan berfikir dan berbincang, sikap terbuka dalam perbezaan pendapat, menghasilkan karya dan tradisi keilmuan dikagumi banyak pihak.

Seorang ilmuwan Islam, Allahyarham Muhammad Abduh sewaktu membuat kunjungan ke Perancis suatu ketika dulu kagum dengan budaya tinggi orang Perancis. Apabila kembali ke Kaherah, Mesir beliau membuat ke­nyataan: “Saya bertemu Islam di Perancis walaupun tidak ramai orang Islam di sana. Di Kaherah, saya bertemu ramai orang Islam tetapi tidak bertemu dengan Islam.” Ke­nyataan ini amat menarik kepada orang yang rajin merenung.

Reflektif terhadap pembangunan tamadun Islam suatu ketika dulu terasas dengan kekuatan budaya tinggi ditandai dengan empat faktor. Pertama, wujud sinergi ulama/ilmuwan dan pemimpin dalam membangun budaya tinggi yang dikagumi Barat. Kedua, berlakunya integrasi ilmu naqli-aqli dalam menghasilkan penemuan-penemuan besar dalam bidang sains dan teknologi. Ketiga, tradisi cendekiawan hasil terbinanya jiwa penyelidikan dan eksperimen menghasilkan karya besar dalam pelbagai bidang. Keempat ke­sediaan ilmuwan Islam berkongsi ilmu yang bermanfaat dari budaya dan tamadun lain dan mengambil sari pati yang berguna dan menyumbang kepada tamadun Islam. Contohnya, al-Biruni di India.

Akhirnya masyarakat Barat mengambil ilmu-ilmu sains dan teknologi dari budaya tinggi Islam dan menghasilkan reformasi, renaissance dan menyebabkan Barat menjadi kuasa penakluk dan menanamkan etos dan budaya Barat kepada orang Islam sehingga kini bahawa mereka adalah moden dan progresif.

Inilah yang menjadi cabaran utama di mana pengaruh Barat tidak saja membawa manfaat berbanding dalam sains dan teknologi tetapi pembaratan budaya yang tidak sealiran dengan budaya tinggi berasaskan akal budi yang sifatnya menyantuni. Dalam konteks orang Melayu, membina budaya tinggi juga harus bertunjangkan agama. Maksud konsep budaya adalah cantuman makna budi dan daya yang membentuk cara hidup sesuatu bangsa.

Membangun budaya tinggi adalah membangun akal budi dan hati budi menerusi teladan yang baik, sumber ikutan yang benar dan bermanfaat supaya masyarakat berada dalam tahap beradab dan menghasilkan sebuah peradaban. Makna adab dalam kalangan ilmuwan merujuk disiplin akal, hati dan amal.

Orang Melayu di Malaysia mampu membina budaya tinggi jika elemen ketamadunan dalam Islam dijadikan tunjangan. Binaan sesuatu bangsa menurut al-Quran memerlukan proses kesalingan yang menuntut proses ­mengetahui dan mempelajari yang terbaik dari orang lain. Etika dan sistem nilai Islam yang mengajar sifat menyantuni, kasih sayang, kesatuan, etika per­bezaan dalam konteks adabul ikhtilaf, amanah, jujur, adil dan kualiti manusiawi yang tinggi harus dijadikan sandaran.

Jika orang Melayu memiliki kekuatan rohaniah dan amaliah, budaya tinggi bakal tersemai dan jika masyarakat bukan Melayu memiliki nilai-nilai interaktif yang sifatnya menyantuni, ia baik untuk masyarakat Malaysia bagi mencapai persefahaman dan pengertian untuk hidup bersama dalam sebuah negara majmuk.