Jika kita mencari faktor luar untuk menjustifikasikan hasil kehidupan kita – kebahagiaan, ketenangan, kesihatan dan kekayaan (4K), maka kita tidak akan berjaya dan akan sentiasa berfikiran “menjadi mangsa” kepada orang dan situasi.

Pengalaman selama 32 menjadi doktor dan jadi doktor pakar mata selama 26 tahun, mendedahkan saya kepada beberapa pengalaman pahit kehidupan manusia, yang menyebabkan mereka hilang ketenangan, tidak bahagia, menghadapi stres yang berpanjangan, sering dan susah hati – fikiran kusut dan hati berserabut.

Sebenarnya apa-apa yang kita alami semasa kecil akan mempengaruhi kehidupan dewasa kita. Jika kita berasa tidak yakin kepada diri dan berasa diri kekurangan serta tidak menghargai diri sendiri, lihat semula sejarah kehidupan semasa kecil kita.

Kurang kasih sayang punca kita takut dan hilang keyakinan diri serta stres. Ibu bapa yang garang dengan anak dan tidak pandai memberikan kasih sayang kepada anak-anak, akan membentuk anak yang akan menjadi ibu bapa yang garang dan tidak pandai memberikan kasih sayang kepada anak apabila mereka dewasa.

Bayangkan bagaimanakah anak-anak kita mendidik cucu-cucu kita nanti? Kalau kita berkasar dengan anak-anak kita, maka anak kita belajar untuk dikasari.

Jika anak-anak yang kasar ini bertemu jodoh pula dengan menantu yang dididik secara kasar, maka cucu kita mendapat acuan didikan kasar, sama seperti yang dialami oleh ibu bapa mereka. Maka terbentuklah generasi/keturunan kita yang kasar.

Hentikan kitaran ganas ini kerana anak-anak ada peringkat pembesaran dan otak anak sedang membesar. Setiap interaksi dengan anak membina neuron baharu, yang terbentuk kesan daripada peristiwa yang lepas, dan itulah yang menjadi tabiatnya.

Biasanya cara kita melayan diri kita, macam itulah cara kita melayan anak-anak dan isteri/suami kita. Jika kita menyayangi diri kita, maka mudahlah bagi kita untuk menyayangi anak-anak dan pasangan kita dan orang di sekeliling hidup kita.

Ibu bapa yang positif akan menghasilkan anak yang tenang dan bahagia. Jom audit sikap keibubapaan kita yang ditentukan oleh ilmu keibubapaan yang kita pelajari dan miliki.

Bahagian otak manusia ini ada dua, iaitu otak kiri dan otak kanan. Otak kiri untuk fikir hal-hal yang logik dan solusi. Tetapi, dalam mencari logik kita perlu juga otak kanan, yang berperanan memberikan rasa melalui emosi.

Pada zaman dahulu kebanyakan ibu bapa memberikan penekanan kepada didikan/asahan otak kiri sahaja. Iaitu dahulu ibu bapa menekankan cara mendidik anak-anak, kalau hendak berjaya mesti berjaya memperoleh banyak A dalam peperiksaan besar yang menentukan masa hadapan.

Untuk mencapai matlamat ini ibu bapa perlu mendidik dengan keras dan disiplin yang rapi untuk memastikan anak-anak capai kejayaan.


Potensi diri

Di pihak anak pula, mereka baru akan berasa diri mereka bernilai jika mereka berjaya mencapai sasaran ibu bapa mereka.

Jika mereka tidak berjaya mencapai impian ibu bapa, mereka akan berasa tidak mencapai kesempurnaan, (saya tidak cukup pandai, saya tidak cukup baik dan tidak cukup dikasihi).

Lebih buruk lagi apabila mereka mula membanding-bandingkan diri mereka dengan sesama adik-beradik atau teman sebaya yang berjaya mencapai kehendak ibu bapa mereka.

Perasaan tidak cukup “sempurna” inilah yang akan membuatkan anak-anak berasa rendah diri dan tidak berkeyakinan. Tidak ada siapa pun yang sempurna dalam dunia ini kerana kesempurnaan itu hanya milik Alla SWT. Amat bahaya jika kita terperangkap dengan sasaran kesempurnaan.

Hal ini adalah kerana perangkap kesempurnaan pertama, kalau capai sasaran kesempurnaan ini kecenderungan untuk menjadi orang yang berbangga dan riak dengan kehebatan diri sangat besar.

Kedua, kalau tidak capai, kemungkinan besar kita akan menjadi seorang yang berputus asa, murung dan mengutuk kekurangan serta ketidakmampuan diri.

Oleh sebab itu, didiklah anak ikut zaman, zaman ini bukan zaman kekerasan. Kita tidak perlu panik dengan masa hadapan anak-anak kita, kerana anak-anak kita semasa di alam roh lagi sudah ditentukan Allah perjalanan hidup mereka.

Setiap kelahiran insan adalah untuk menjadi hamba Allah dan menjadi khalifah Allah, bukan menjadi hamba manusia dan merajai duniawi. Setiap orang dilahirkan dengan potensi diri.

Tanyalah kepada diri, sebagai ibu bapa, kita didik anak untuk membunuh potensi atau membina potensi diri mereka? Atau kita mendidik mereka untuk mengejar kehidupan atau mengejar makna kehidupan.

Yang perlu kita bina adalah apakah misi kehidupan anak-anak kita? Misi kehidupan bermaksud melakukan sesuatu menggunakan kekuatan diri.

Masa lampau yang pahit akan meninggalkan kesan negatif dan positif, bergantung pada cara kita menanganinya. Pertama, dendam maka kita akan buat perkara yang negatif yang sama kepada anak, sama macam yang kita terima daripada ibu bapa.

Kedua, kita “reset minda”, bangunkan diri kita. Iaitu berfikir, dengan sebab masa lampaunya yang pahit itu kita menjadi orang yang berjaya, dan kita gunakan kepahitan masa lampau untuk kita bina kejayaan dan tidak mahu anak kita merasai kesusahan yang sama, macam yang kita pernah lalui.

Hapuskan budaya garang dengan anak tetapi tegas anak. Garang bermakna, bercakap dengan marah dan bercakap dengan nafsu syaitan sebab kita hendak orang ikut cakap kita.

Tegas pula, bermakna didik berdasarkan prinsip – tegas dan lembut serta beri anak ruang berfikir (menggunakan otak kiri) dan merasa (menggunakan otak kanan).

Didik anak ada perasaan kesian kepada orang. “FIKIR BAIK – RASA BAIK – DAPAT BAIK”. Fikir melahirkan zikir – lihat ciptaan, ingatkan Pencipta. Sebab, setiap yang kita fikir akan dilihat otak kiri dan setiap yang kita rasa dilihat dengan otak kanan, dengan hati memahami minda kita dan memahami minda orang.

Fikir dan rasa inilah yang akan melahirkan lima emosi positif (kesyukuran, kasih sayang, memaafkan, kasihan belas dan menghargai).

Didiklah anak-anak dengan kesyukuran dan sikap suka memberi. Atasi sikap negatif anak dengan cara yang betul. Kanak-kanak memang fitrahnya suka bermain.

Jangan halang fitrah mereka. Oleh sebab itu kaedah belajar yang betul untuk anak-anak adalah “bermain sambil belajar”.

Ibu bapa kena fahami anak-anak terlebih dahulu kerana setiap anak berbeza cara pendekatannya. Otak anak perlu diasah dengan betul.

Otak umpama pisau, pisau yang tajam boleh mengukir kayu, menjadi kuda hiasan, contohnya. Tetapi kena tahu teknik ukir yang betul. Kalau kita asah otak anak kita dengan betul, anak kita bukan sahaja tajam pemikirannya, malah memiliki daya kreativiti yang tinggi.

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.