ABDUL WAHED JALAL NORI

Proses globalisasi dan kepesatan kemajuan teknologi boleh menyebabkan dunia berubah sekelip mata. Hatta, kita tidak mampu mengetahui apa yang akan berlaku esok. Tetapi itulah cabarannya yang perlu dihadapi kerajaan hari ini supaya rakyat di negara ini tidak ketinggalan dalam arus kemodenan dunia sekali gus mampu mencapai status negara maju.

Tindakan kerajaan melalui inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangka dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) dilihat tepat pada masa­nya. Ini kerana, kita masih belum ada sebuah perancangan selepas Wawasan 2020 yang hanya berbaki kurang tiga tahun lagi.

Sedangkan banyak negara sudah ke hadapan dalam soal ini. Sebagai contoh, Sweden telah mewujudkan sebuah kementerian yang bertanggungjawab ­merangka segala dasar untuk masa depan yang dimainkan pe­ranan oleh Kementerian Isu-Isu berkaitan Masa Depan, Kerjasama dan Strategi negara itu. Sebab itu, apabila Najib memperkenalkan TN50, ini disifatkan sebagai satu langkah bijak dan ke hadapan.

Bagi seorang warganegara Iraq yang menetap di sini lebih 20 tahun, Dr. Abdul Wahed Jalal Nori melihat komitmen Najib itu sebagai berpandangan jauh demi membina masa depan lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Penganalisis Kanan Dasar Sosial, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) itu membe­ritahu, pendekatan bottom-up yang diguna pakai barisan kepe­mimpinan kerajaan juga adalah satu pendekatan tidak memen­tingkan diri sendiri. Sebaliknya, mengajak rakyat terutama golo­ngan muda untuk sama-sama melakar peta masa depan mengikut pandangan dan kemahuan mereka.

Ini bererti kerajaan tidak bersikap silo (bersendirian) dalam hal tersebut, malah mewujudkan pasukan pemikir dalam kalangan rakyat sendiri.

Abdul Wahed turut berkongsi lima input yang perlu dimasukkan dan dititikberatkan dalam naskhah TN50 itu. Iaitu soal pendidikan, teknologi, polisi anak muda, bangsa Malaysia dan menangani ketidaksamaan taraf sosial.

Menurut beliau, isu pendidikan amat penting kerana ia se­perti sebuah ‘enjin’ perubahan dalam masyarakat. Jika mahu sebuah masa depan yang cerah, negara ini perlu ada satu sistem pendidikan yang kuat. Oleh itu, polisi pendidikan Malaysia perlu disesuaikan mengikut perubahan masa itu.

“Oleh kerana berlaku ketidaktentuan dan keadaan dunia yang berubah begitu cepat, kita perlu mengubah semula sistem pendidikan atau sekurang-kurang­nya membuat alternatif kepada sistem pendidikan sedia ada yang selari dengan kepesatan teknologi,” katanya ketika ditemui ­Utusan Malaysia di pejabat beliau, baru-baru ini.

Selain isu pendidikan, polisi anak muda perlu diberi ke­utamaan bersama. Ini kerana golongan muda pada masa ini akan menjadi penggerak kepada apa yang akan dirangka pada masa depan. Oleh itu, Abdul Wahed mengingatkan agar perlunya ada satu platform untuk mereka menyuarakan pandangan tanpa memberi fokus kepada kategori umur kerana ia hanya men­definisikan pembangunan fizikal.

Sebaliknya, kata beliau, pendekatan yang harus diberikan adalah mengikut lokaliti. Anak muda yang dibesarkan di Kelantan tidak sama dengan rakan sebaya mereka yang membesar di Johor. Mereka mempunyai latar belakang dan pemikiran yang berbeza. Dekatilah mereka di mana mereka berada. Persepsi terhadap anak muda juga perlu diubah yang meletakkan stigma bahawa mereka adalah golongan tidak matang dan perlu disuap kerana mereka tidak tahu apa-apa. Aspek lain yang perlu ditekankan dalam TN50 adalah berkaitan teknologi.

Menurut Abdul Wahed, Malaysia mampu menjadi peneraju teknologi dalam dunia Islam. Negara ini tidak boleh ketinggalan dalam bidang berkenaan kerana negara-negara lain sudah jauh ke hadapan. Oleh itu, katanya, letakkan usaha yang sangat serius ke arah itu dengan membangunkan kreativiti dan inovasi.

“Dalam memberi fokus terhadap empat perkara ini, satu lagi­ ­aspek tidak boleh dipinggirkan iaitu ketidaksamaan sosial. Dalam dunia kompetitif ini, kita perlu tangani masalah berkenaan. Setiap orang perlu ada peluang untuk bersaing dan semangat inklusif itu harus dititikberatkan kerana masing-masing mempunyai hak untuk hidup aman dan harmoni,” katanya yang berkeyakinan Malaysia boleh muncul sebagai sebuah negara Islam contoh yang mengamalkan konsep kesederhanaan dan bertoleransi walaupun mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama.

Abdul Wahed sangat mengagumi Malaysia yang disifatkan tidak seperti negara-negara Islam di Asia Barat. Beliau berpandangan, Malaysia perlu mempromosikan konsep Islam yang diamalkannya ke seluruh dunia dan mengetuai negara Islam lain untuk membawa mesej keamanan melalui amalan konsep Islam sebegitu.

Persepsi salah terhadap Islam yang mengaitkan agama itu de­ngan keganasan perlu dipadamkan. Inilah tugas pemimpin Islam yang akan digerakkan oleh anak-anak muda sekarang ini. Keperibadian Islam sebenar perlu dijiwai mereka di samping menerokai bidang profesional lain supaya nasib agama Islam sentiasa dijunjung pada zaman 30 tahun akan datang.

“Malaysia boleh memainkan peranan untuk mewujudkan imej baik tentang Islam itu yang telah pun ditonjolkan negara ini. Sebab itu, konsep Islam ini perlu dipromosikan dan diwujudkan di seluruh dunia. Perspektif Islam ini perlu diletakkan asas utama dalam dokumen TN50,” katanya.

Pandangan Abdul Wahed itu ada asasnya. Jadi, sudah tiba masanya Malaysia menjadi pe­neraju negara Islam dalam membina sebuah masa depan lebih baik. Kejayaan terbesar TN50 boleh diukur di sini.