Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

UMAT Islam yang bertakwa dan memiliki kerohanian yang tinggi sentiasa
UMAT Islam yang bertakwa dan memiliki kerohanian yang tinggi sentiasa mengharapkan keredaan Ilahi dalam pelbagai kegiatan seharian mereka sementara keperibadian Rasulullah SAW menjadi model dalam kehidupan mereka. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

ISLAM amat prihatin terhadap pendidikan agama dan kerohanian. Kekuatan atau kelemahan umat Islam bergantung kepada minda dan corak kehidupan setiap individu Islam. Pengabaian terhadap aspek kerohanian boleh menyebabkan umat Islam lemah dan hilang prinsip kehidupan yang berteraskan wahyu Ilahi. Umat Islam sepatutnya memahami bahawa penyalahgunaan kuasa, rasuah, tamak, jenayah, maksiat dan sebagainya adalah simbol kepada ketandusan rohani kini. Perkara ini berlaku disebabkan seseorang individu adalah di­sebabkan mudah dipengaruhi oleh nafsu al-lawwamah yang sentiasa mendesak melakukan perkara mungkar dan seumpamanya.

Umat Islam dinasihati Rasulul­lah SAW supaya memelihara kerohanian dan nilai-nilai keagamaan di dunia ini dan berwaspada dengan hasutan nafsu al-lawwamah. Nafsu ialah sesuatu yang tidak nampak yang merangkumi daya marah dan nafsu syahwat pada manusia yang perlu ditentang seperti mana sabda baginda: “Musuhmu yang terbesar ialah nafsumu yang berada di antara dua rusukmu.”

Imam al-Ghazali menjelaskan nafsu al-ammarah tidak mempu­nyai sedikit pun unsur-unsur kebaik­an dan sentiasa cenderung kepada kejahatan, menghapuskan penilaian akal dan bersifat mendesak untuk memenuhi kehendaknya. Desakan–desakan ini berupaya menundukkan manusia mengikut kemahuannya. Individu yang dipengaruhi oleh hawa nafsu ini tidak dapat membezakan antara kebaikan dan kejahatan malah mera­sai bangga dengan kegiatan kejahatannya.

Jika nafsu ini sudah bertapak dalam jiwa individu maka dia menjadi seorang yang zalim, penjenayah, pemabuk, penzina dan sebagainya kerana sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah nafsu syahwat dan hasutan syaitan. Perkara ini disebut oleh Allah dalam Surah 12 (Yusuf): 53 yang bermaksud: “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguh­nya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, jenayah dan maksiat menjadi semakin berleluasa dalam masyarakat Islam masa kini. Ini menunjukkan bahawa kebanyak­an umat Islam sudah dipengaruhi oleh nafsu yang sentiasa bergelora dalam jiwa sehingga mereka menjadi buta untuk membezakan sesuatu yang baik dan jahat. Apabila nafsu al-ammarah sudah mempengaruhi pemikiran pe­mimpin, pentadbir, pendidik dan masyarakat keseluruhannya maka nilai-nilai agama akan terhapus. Setiap individu akan memikirkan kepentingan diri sehingga mem­belakangi hak dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Ketika ini kebatilan menjadi prinsip kehidupan dan kebenaran semakin hari kian terkubur.

Para pentadbir yang dipenga­ruhi olehnya akan menggunakan kedudukan mereka untuk memutar belit dasar negara demi untuk mengayakan diri secepat mungkin. Sikap tamak dan rakus mereka menyebabkan masyarakat tidak dapat menikmati kemudahan dan keistimewaan yang diperuntukkan kepada mereka. Para pentadbir yang begini boleh memusnahkan institusi yang ditadbir oleh mereka. Rasulullah SAW memperingati perkara ini dengan sabdanya: “Barang siapa yang diangkat oleh Allah untuk memimpin rakyatnya, kemudian ia tidak mencurahkan kesetiaan­nya, maka Allah haramkan baginya syurga.”

Para ilmuwan yang dipenga­ruhi oleh nafsu sering berlumba-lumba untuk menunjukkan kehebatan dalam ilmu pengetahuan sehingga mengetepikan konsep, prinsip dan etika ilmuwan Islam. Rasulullah SAW melarang umatnya menunjukkan kehebatan diri dalam ilmu pengetahuan sepertimana sabdanya: “Janganlah kamu menuntut ilmu demi membanggakannya di hadapan ulama, jangan berdebat de­ngan orang-orang bodoh, dan jangan menjadi jaguh di forum-forum. Barang siapa yang melakukan demikian maka neraka...neraka.” (Riwayat At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Nafsu al-ammarah hanya dapat dihapuskan melalui latihan kerohanian secara mendampingkan diri kepada Allah seperti melakukan ibadah dan seumpamanya. Kesedaran terhadap agama perlu dipertingkatkan melalui sistem pendidikan negara. Cara penyampaian ilmu agama perlu diperbaiki supaya ilmu yang diajar di peringkat rendah sehingga pusat pengajian tinggi dapat meresap dalam minda para pelajar.

Pendidikan kerohanian dan ilmu wahyu perlu disampaikan secara lunak bukan kekerasan sehingga mencederakan tubuh badan pelajar. Latihan kerohanian dan keagamaan dapat meresap dalam minda dan jiwa pelajar jika wujud suasana kemesraan di antara guru dan pelajar. Apabila masyarakat mendapat latihan kerohanian dan keagamaan secara sempurna maka mereka mampu me­ngendalikan hati nurani mereka ke arah keredaan Ilahi. Mereka tidak akan mengambil sesuatu bukan hak mereka walaupun kedudukan mereka memberi peluang yang sepenuhnya untuk melakukan penyelewengan.

Umat Islam yang bertakwa dan memiliki kerohanian yang tinggi sentiasa mengharapkan keredaan Ilahi dalam pelbagai kegiatan seha­rian mereka. Keperibadian Rasulullah SAW menjadi model dalam kehidupan mereka. Apabila seseorang individu Islam mencapai tahap keimanan yang tinggi, jiwa mereka akan hanya tertumpu kepada keistimewaan ganjaran daripada Allah pada hari akhirat.

Maka semarakkanlah jiwa aga­ma dan pertingkatkan latihan kero­hanian ummah semoga umat Islam berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain